Sunday, April 11, 2010

KEDUDUKAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAN MAHKAMAH SYARIAH

Sejarah perkembangan undang-undang Islam di Malaysia
Sebelum Kedatangan Penjajah


Islam telah datang ke Kepulauan Melayu pada abad Pertama Hijriyyah bersamaan abad Ketujuh Masehi.1 Ini berasaskan dari laporan orang Cina dan penemuan kesan-kesan sejarah yang menunjukkan bahawa saudagar Arab Islam telah membuat penempatan dan menyebarkan Islam di Kedah dan Palembang.

Perkembangan Islam mula berlaku dengan pesat pada kelima belas Masehi melalui Empayar Kesultanan Melaka. Dalam masa yang singkat sahaja Islam telah tersebar ke seluruh Tanah Melayu, Pulau Jawa, Borneo, Sulawesi dan Mindanao.

Kedatangan Islam ini bukan sahaja mengubah sosio-budaya dan pemikiran masyarakat tempatan di Kepuluan Melayu bahkan juga telah membawa perubahan dari sudut perundangan dan pentadbiran. Bukti sejarah menunjukkan bahawa undang-undang Islam telah pun di amalkan di Tanah Melayu sebelum datangnya penjajah Barat. Perlaksanaan ini melibatkan hukum-hukum Islam secara menyeluruh berkaitan dengan jenayah, urusniaga atau muamalah, kekeluargaan, prosedur dan keterangan.


Kedudukan undang-undang Islam sebelum kedatangan penjajah British bukan sahaja diakui oleh ahli sejarah bahkan juga diiktifar oleh Mahkamah. Dalam kes Ramah lwn Laton2, Mahkamah Rayuan di Selangor telah membuat keputusan bahawa undang-undang Islam ialah undang-undang negeri dan mahkamah hendaklah mengiktiraf dan menggunakan undang-undang tersebut.

Penerimaan dan perlaksanaan undang-undang Islam juga jelas terbukti di dalam teks perundangan berkuatkuasa di negeri-negeri Melayu seperti Hukum Kanun Melaka yang juga dikenali sebagai Undang-undang Melaka.3 Sebahagian besar kandungan undang-undang tersebut berasaskan undang-undang Islam dalam semua bidang termasuklah soal jenayah, urusniaga, kekeluargaan, keterangan dan acara. Umpamanya terdapat hukuman hukuman bunuh balas atau qisas, hukum hudud seperti sebat atau rejam bagi kesalahan zina dan liwat, hukuman sebat ke atas kesalahan qadhaf atau menuduh zina tanpa saksi, hukuman mati bagi kesalahan murtad, hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri, hukuman sebat bagi kesalahan minum arak, kesalahan merompak sambil membunuh, dan hukuman mati bagi penderhaka. Hukum Kanun Melaka juga memepruntukkan hukuman berkaitan dengan hukum taazir dan diat di samping beberapa di samping beberapa peruntukan berkaitan dengan urusniaga atau muamalat seperti pengharaman riba, kesahihan sesuatu kontrak, kontrak jual beli, pinjaman dan amanah yang selari dengan hukum Islam.


Selain itu di dalam Hukum Kanun Melaka juga terdapat peraturan keluarga Islam yang meliputi soal wali bagi perempuan, akad perkahwinan, perceraian dan fasakh. Bahkan di dalam undang-undang itu juga terdapat undang-undang keterangan dan acara yang berasaskan hukum Islam seperti kesaksian, sumpah, pengakuan, adab dan kelayakan hakim, prosedur mahkamah serta timbangtara atau sulh. Tegasnya Hukum Kanun Melaka ini merupakan satu bukti yang jelas bahawa undang-undang Islam telah dilaksanakan di Tanah Melayu.

Oleh kerana Empayar Kesultanan Melaka meliputi seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian dari Sumetera, maka pengaruh undang-undang Islam seperti yang terkandung dalam Hukum Kanun Melaka ini telah tersebar ke negeri-negeri Melayu lain. Ini termasuklah Undang-undang Pahang bertarikh 1596, Undang-undang Kedah bertarikh 1605, Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan Perak dan Undang-undang Johor yang mula berkuatkuasa pada tahun 1789. Pada tahun 1914 pula kerajaan Johor menterjemahkan dan menguatkuasakan peraturan di dalam Majallat al-Ahkam iaitu undang-undang sivil Islam yang diamalkan oleh kerajaan Islam Turki.

Di samping itu terdapat juga bukti jelas perlaksanaan undang-undang Islam di negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Terengganu. Bagi negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak, walau pun tidak terdapat bukti wujudnya undang-undang bertulis berasaskan Islam, kesemua negeri ini berada di bawah pemerintahan Sultan yang menganut agama Islam.

Zaman Penjajahan British

Perlaksanaan undang-undang Islam di negeri-negeri di Malaysia berjalan sehingga kedatangan penjajah British yang memperkenalkan undang-undang Inggeris bagi menggantikan undang-undang Islam. Cara penerimaan undang-undang Inggeris dan penghakisan undang-undang Islam adalah berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Perbezaan ini mengikut kategori negeri-negeri yang secara umumnya ia boleh di bahagikan kepada empat kategori iaitu Negeri-negeri Selat, Negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu Tidak Bersekutu serta Sabah dan Sarawak.


Bagi Negeri-negeri Selat Undang-undang Islam terhapus melalui penguatkuasaan undang-undang Inggeris secara total melalui Piagam Keadilan Pertama, Kedua dan Ketiga. Piagam-piagam ini menisytiharkan secara jelas penerimaan undang-undang Inggeris secara menyeluruh di negeri yang dikuasai British itu. Akibatnya penguatkuasaan undang-undang Islam yang sedia terpakai terutamanya di Melaka telah terhapus dan diganti dengan undang-undang Inggeris.


Sebaliknya di Negeri Melayu Bersekutu, penghapusan undang-undang Islam berlaku secara yang lebih licik iaitu melalui pemisahan antara ‘hal ehwal agama’ dengan urusan hidup yang lain. Melalui sistem Residen, Sultan dikehendaki menerima nasihat Residen dalam semua urusan kecuali dalam soal ‘hal ehwal agama Islam dan adat istiadat’. Pengertian agama Islam di sini telah disempitkan kepada urusan ibadat, undang-undang kekeluargaan, pewarisan, wakaf dan beberapa perkara lain yang termasuk di dalam kategori undang-undang peribadi. Sementara urusan jenayah, urusniaga, pentadbiran negeri, percukaian, undang-undang tanah, dan lain-lain berada di bawah bidangkuasa Residen Inggeris yang merujuk kepada undang-undang Common Law Inggeris. Selain itu pengaruh undang-undang Inggeris juga dikembangkan melalui penguatkuasaan beberapa undang-undang bertulis di negeri-negeri berkenaan.


Sementara di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, cara penyisihan undang-undang Islam juga hampi sama. Di sini Inggeris melantik pegawainya yang dikenali sebagai Penasihat bagi menguatkuasakan undang-undang Inggeris dalam semua urusan kecuali dalam urusan ‘hal ehwal agama’ dan adat istiadat.


Penyempitan maksud agama dan pemisahan agama dari urusan kehidupan ini adalah bertentangan dengan konsep Islam sebagai sistem hidup yang menyeluruh. Sistem pemisahan antara agama dan urusan hidup yang diperkenalkan oleh British ini menjadi titik tolak kepada struktur dualisme di dalam sistem perundangan Malaysia yang ada pada hari ini. Kesan penyisihan undang-undang Islam yang dilakukan oleh British ini memberi kesan yang besar dan berterusan sehingga sekarang.


Bagi Sabah dan Sarawak, walau pun telah menerima pengaruh Inggeris seawal tahun tahun 18824 dan 18425, undang-undang Inggeris hanya diterima secara rasmi pada tahun 19516 dan 19497. Akibatnya pengaruh perundangan Islam yang dilaksanakan oleh kedua-dua negeri ini melalui pemerintahan Sultan Brunei mula terhakis.


Secara ringkasnya, perlaksanaan undang-undang Inggeris di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak menyebabkan undang-undang Islam tidak lagi diamalkan seperti sebelumnya. Undang-undang Inggeris ini diperkenalkan oleh British melalui dua cara iaitu:


Melalui undang-undang bertulis iaitu dengan menguatkuasakan undang-undang baru yang bersumberkan undang-undang Inggeris seperti Kanun Keseksaan, Kanun Acara Jenayah, Kanun Acara Sivil, Enakmen Keterangan, Enakmen Kontrak dan Enakmen Tanah.
Melalui keputusan para hakim yang kebanyakannya terdiri dari hakim-hakim British. Mereka membuat penghakiman berdasarkan prinsip Common Law Inggeris dan mewujudkan prinsip perundang yang mengikat mahkamah di negeri-negeri Melayu.


Bagi memperkukuh pengaruh undang-undang Inggeris mereka telah menguatkuasakan Enakmen Undang-undang Sivil8 (sekarang dikenali sebagai Akta Undang-undang Sivil 1956) yang menyebabkan penerimaan prinsip Common Law dan peraturan-peraturan Ekuiti seperti yang ditadbirkan di England.


Akibat dari pengaruh Inggeris, undang-undang Islam hanya digunakan dalam urusan kekeluargaan, wakaf, pusaka dan kesalahan yang ada kaitan dengan keagamaan sahaja. Penguasaan undang-undang Inggeris ini berlarutan walau pun setelah negara mencapai kemerdekaan.

Selepas Merdeka

Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Pada tahun 1963, Sabah dan Sarawak telah bergabung dengan Tanah Melayu dan mewujudkan negara Malaysia. Undang-undang tertinggi bagi negara adalah Perlembagaan Persekutuan dan badan perundangan tertinggi adalah Parlimen yang terdiri daripada Yang Dipertuan Agung, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi adalah perlembagaan itu sendiri dan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah terbatal setakat yang bercanggahan itu.9 Perlembagaan juga meletakkan urusan pentadbiran agama Islam dan undang-undang Islam di bawah bidangkuasa kerajaan negeri. ‘agama Islam’ yang dimaksudkan di sini dihadkan kepada perkara-perkara berkaitan undang-undang keluarga, wakaf, pusakan, serta pengurusan zakat, baitul mal dan masjid. Perlembagaan juga memasukkan peruntukan berkaitan dengan mahkamah Syariah di bawah bidangkuasa kerajaan negeri.


Kedudukan Islam dalam Perlembagaan

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Peruntukan ini menjadikan kedudukan agama Islam lebih istimewa dari pada agama lain. Namun demikian penganut agama lain tetap mempunyai kebebasan untuk menganut dan mengamal agama mereka. Mereka juga berhak untuk menyebarkan agama masing-masing kecuali jika terdapat undang-undang yang menyekat penyebaran apa-apa iktikad atau agama di kalangan penganut agama Islam.10

Walau bagaimana pun peruntukan ini tidak mempunyai kesan dari sudut perlaksanaan undang-undang Islam di Malaysia. Ini kerana perkataan ‘agama Islam’ di dalam Perkara 3 ini merujuk kepada maksud ‘agama’ seperti yang dipegang oleh Barat khususnya di kalangan pendokong fahaman sekularisme. Ini kerana Perlembagaan digubal oleh Suruhanjaya Perlembagaan yang dipengerusikan oleh Lord Reid. Sehubungan dengan itu maksud agama di dalam Perkara 3 ini hanya menyentuh hubungan manusia dengan Tuhan semata-mata tanpa melibatkan hubungan sesama manusia yang lebih luas. Dengan lain perkataan ia tidak memenuhi maksud Islam sebagai al-din atau cara hidup yang sempurna.11


Dalam kes Che Omar bin Che Soh lwn Pendakwaraya,12 tertuduh telah didakwa di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman mati mandatory. Dalam hujah pembelaannya tertuduh mendakwa bahawa tuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah tidak sah kerana bertentangan dengan undang-undang Islam dan sekali gus bercanggah dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Hujah pembela itu ditolak oleh Mahkamah Agung. Tun Salleh Abbas KHN di dalam penghakimannya menyebut bahawa walau pun Islam adalah satu cara hidup, maksud agama Islam dalam konteks Perkara 3 perlu dilihat berasaskan sejarah dan penggubalan Perlembagaan serta peruntukan lain di dalam Perlembagaan terutamanya Perkara 4. Perkara 4 menyebut bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan adalah terbatal setakat yang bercanggah itu. Yang Arif menyimpulkan bahawa Islam dalam konteks Perkara 3 hanya meliputi soal upacara rasmi dan adat istiadat semata-mata.

Kes di atas menunjukkan secara jelas kedudukan agama Islam dari sudut perundangan. Secara keseluruhannya Islam tidak menjadi tonggak kepada sistem perundangan negara. Walau bagaimana pun masih terdapat ruang perlaksanaan undang-undang Islam dalam skop yang terhad melalui beberapa peruntukan lain terutamanya berkaitan undang-undang peribadi dan keluarga seperti yang terdapat di dalam Senarai Negeri Jadual Kesembilan.




Perlaksanaan undang-undang Islam melalui kerajaan Negeri

Walau pun Perkara 3 tidak menyebabkan perlaksanaan undang-undang Islam, terdapat beberapa peruntukan lain di dalam Perlembagaan yang menyentuh kedudukan undang-undang Islam iaitu Jadual Kesembilan yang membahagikan kuasa antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Undang-undang Islam diletakkan di bawah Senarai Negeri. Ini bermakna kuasa perundangan dan pentadbiran undang-undang Islam adalah di bawah kuasa kerajaan Negeri. Badan yang berkuasa untuk membuat undang-undang berkaitan agama Islam adalah Dewan Undangan Negeri. Pada umumnya, Parlimen tidak berhak membuat undang-undang berkaitan agama Islam kecuali bagi Wilayah Persekutan.

Keadaan ini menjadikan tiap-tiap negeri perlu membuat enekmen tersendiri berkaitan perundangan dan pentadbiran Islam. Walau pun kebanyakan adalah hampir sama, namun terdapat juga perbezaan antara enekmen sesebuah negeri dengan negeri yang lain. Perbezaan undang-undang ini kadang-kadang menyebabkan timbil kelemahan dari sudut perlaksanaan undang-undang Islam ke atas penganut Islam di Malaysia.

Di samping itu skop undang-undang Islam yang boleh dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri ini adalah terhad kepada perkara-perkara berbentuk undang-undang peribadi, undang-undang keluarga dan beberapa perkara lain seperti yang disebut oleh Senarai Negeri itu. Ini termasuklah hukum pewarisan, pertunangan, perkahwinan, perceraian, maskahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat, wakaf, amanah khairat, adat istiadat Melayu, zakat, fitrah, baitul mal, masjid dan surau.

Ia juga meliputi kesalahan jenayah syariah seperti yang berkaitan dengan rukun Islam serta peraturan bagi mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara penganut Islam, di samping perkara yang berkaitan dengan mahkamah Syariah seperti keanggotaan, penyusunan dan cara pentadbiran mahkamah tersebut.

Undang-undang yang meliputi perkara di atas juga terhad hanya kepada penganut agama Islam sahaja. Ia juga hanya boleh berkuatkuasa setakat tidak bercanggah dengan undang-undang Persekutuan.

Sistem Mahkamah Syariah
Bidangkuasa Mahkamah Syariah


Mahkamah Syariah adalah mahkamah dengan bidangkuasa khas bagi membicarakan kes-kes yang terletak di bawah bidangkuasa kerajaan negeri yang berkaitan dengan agama Islam sebagaimana yang terdapat di dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan. Kewujudan Mahkamah Syariah adalah akibat sistem dualisme dalam pentatadbiran sistem kehakiman di Malaysia.


Sebelum kedatangan penjajah, kerajaan negeri-negeri Melayu terutamanya Melaka meletakkan kuasa mahkamah berasaskan undang-undang Islam dengan menjadikan Sultan sebagai tribunal rayuan tertinggi. Penjajah British telah mewujudkan Mahkamah Sivil yang berasaskan undang-undang Inggeris dengan bidangkuasa yang luas. Mahkamah Syriah diletakkan ditempat yang rendah dan mempunyai bidangkuasa yang terhad.


Selepas mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan meletakkan bidangkuasa Mahkamah Syariah di bawah kerajaan negeri. Ia hanya diberi kuasa untuk membicarakan perkara-perkara yang terdapat dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan iaitu bagi perkara yang meliputi undang-undang keluarga, zakat, wakaf, kasalahan berkaitan rukun Islam sahaja.


Ia juga hanya boleh membicarakan penganut agama Islam sahaja. Bidangkuasa jenayahnya pula terhad kepada hukuman penjara yang tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM 5,000 atau sebat tidak melebihi enam sebatan atau kedua-duanya sekali.13

Organisasi Mahkamah Syariah

Pada peringkat awal Mahkamah Syariah berada di bawah Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam tiap-tiap negeri. Bagi meningkatkan kecakapan Mahkamah Syaraiah, kebanyakan negeri sekarang telah memisahkan pentadbiran Mahkamah Syariah dari Majlis Agama Islam serta Jabatan Mufti.

Struktur Mahkamah Syariah terdiri dari tiga peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Mahkamah Rayuan Syariah adalah badan kehakiman syariah tertinggi yang dianggotai oleh panel yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agung. Terdapat seorang Ketua Hakim Syarie yang mengetuai badan kehakiman Mahkamah Syariah. Struktur Mahkamah Syariah sentiasa dikemaskini dari masa ke mas bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di Malaysia.

Konflik Bidangkuasa Mahkamah Syariah-Mahkamah Sivil

Walau pun bidangkuasa Mahkamah Syariah telah ditentukan oleh Perlembagaan, namun terdapat beberapa kes yang menimbulkan pertindihan kuasa di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Terdapat mahkamah sivil yang membicarakan kes yang sepatutnya tertakluk kepada bidangkuasa mahkamah Syariah.14


Perkembangan ini telah cuba diatasi pada tahun 1988 melalui pindaan15 Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan Parkara 121(1A) yang memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi dan mahkamah bawahan awam tidak boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.


Pindaan ini sedikit sebanyak telah mengangkat martabat Mahkamah Syariah dari campur tangan oleh Mahkamah Sivil. Ini terbukti dengan beberapa kes mahkamah yang diputuskan selepas pindaan tersebut.16


Walau bagaimana pun peruntukan ini belum mampu mengatasi sepenuhnya masalah pertindihan kuasa ini.Ini kerana masih terdapat ruang yang membolehkan Mahkamah Sivil membicarakan perkara yang tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.17 Di samping itu terdapat beberapa statut yang boleh menyebabkan konflik bidangkuasa di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.18

1) Syed Muhammad Naquib al-Attas, Preliminary Statement on a General Theory of the Malay-Archipelago, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1966, ms. 11

2 [1927] 6 F.M.S.L.R. 128; 2 J.H. 213

3) teks Undang-undang Melaka ini boleh didapati dalam beberapa versi yang diselanggarakan oleh orang yang berbeza. Antaranya adalah teks yang diselenggarakan oleh Liaw Yock Fang yang mengandungi 44 fasal. Rujuk Liaw Yock Fang, Undang-undang Melaka , The Hague: Maritimes Nijhoft, 1976

4) melalui penguasaan Syarikat (Berpiagam) Borneo Utara British ke atas Sabah

5 ) melalui perlantikan James Brooke sebagai Gabenor Sarawak

6 ) melalui Ordinan Perlaksanaan Undang-undang Borneo Utara 1951

7) melalui Ordinan Perlaksanaan Undang-undang Sarawak 1949

8) Enakmen Undang-undang Sivil 1937 untuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang kemudiannya diperluaskan perlaksanaannya ke negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu pada tahun 1951. Pada tahun 1956 diganti dengan Ordinan Undang-undang Sivil yang berkuatkuasa ke seluruh Tanah Melayu. Pada tahun 1971 ia disemak semula yang diperluaskan perlaksanaanya ke Sabah dan Sarawak.

9) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan

10) Perkara 11

11) rujuk Para 169 Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1956-1957

12 [1988] 2 MLJ 55

13) Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenaya) 1965 (Akta 355)

14) Contohnya dalam kes Myriam lwn Arif [1971] 1 MLJ 265, mahkamah memutuskan bahawa hak penjagaan anak keluarga Islam boleh diputuskan di bawah Akta Penjagaan Kanak-kanak 1966 dan perintah berkaitan dengnnya boleh dibuat oleh Mahkamah Sivil. Keputusan ini bertentangan dengan bidangkuasa mahkamah Syariah untuk membicarakan kes penjagaan anak orang Islam. Lihat juga kes Ainan lwn Syed Abubakar [1939] MLJ 219, Robert lwn Umi Kalthom [1966] 1 MLJ 163, Nafsiah lwn Abdul Majid [1969] 2 MLJ 174 dan Abdul Ghani lwn Sheriza [1989] 3 MLJ 153.

15 ) Akta (Pindaan) Perlembagaan 1988 (Akta A 704)

16) Kesan pindaan ini telah diiktiraf di dalam kes Mohamed Habibullah lwn Faridah [1992] 2 MLJ 798 apabila mahkamah memutuskan bahawa seorang isteri yang beragama Islam tidak boleh membawa tuntutan di Mahkamah Sivil untuk mendapat gantirugi dan injunksi terhadap suaminya yang dikatakan melakukan serang sentuh dan gangguan terhadapnya. Bahkan permohonan tersebut hanya boleh dimohon di Mahkamah Syariah memandangkan ia tertakluk kepada bidangkuasa Mahkamah Syariah.

17) Umpamanya dalam kes Sukma Darmawan Susmadjataat lwn. Ketua Pengarah Penjara Malaysia & SL [1999] 1 AMR 281, di mana Gopal Sri Ram HKR membuat keputusan bahawa Mahkamah Sivil Mempunyai bidangkuasa untuk membicara perayu yang dituduh melakukan kesalahan seks luar tabi’I di bawah Kanun Keseksaan walau pun terdapat Akta Jenayah Syariah yang memperuntukkan kesalahan liwat.

18) Contohnya Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 hanya terpakai untuk bukan Islam. Tetapi seksyen 51 Akta itu memperuntukkan bahawa jika salah satu pihak samada suami atau isteri memeluk Islam, pihak yang tidak memeluk Islam boleh mempetisyen untuk perceraian dalam tempoh tiga bulan dari pemelukan Islam itu. Peruntukan ini menjadikan seolah-oleh kemasukan Islam itu satu kesalahan yang membolehkan pihak lain memohon perceraian sedangkan pihak yang memeluk Islam itu tidak mempunyai apa-apa hak di bawah Akta tersebut.