Tuesday, February 1, 2011

FITNAH IBARAT API

Kemajuan teknologi menyenangkan kita semua tetapi ada segelintir yang menyalahgunakannya sehingga membawa kepada penyebaran fitnah. Penyebaran berita yang tidak benar melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS dan MMS) dan laman sesawang umpamanya banyak sekali berlaku sehingga mencetuskan kegusaran masyarakat.

Walaupun nampak mudah tetapi ini sebenarnya adalah sesuatu bentuk fitnah yang berbahaya. Mengenai fitnah, Allah berfirman bermaksud: "Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya." (Surah Al-Baqarah: 191)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah." (Riwayat Muslim)

Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Sebagai Muslim dan Muslimah, kita wajib menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.

Ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah Al-Hujurat: 6)

Jangan anggap menyebarkan cerita tidak benar itu sekadar kesalahan kecil. Hakikatnya, fitnah itu ibarat api dan dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)