Wednesday, April 24, 2013

Hak suami ke atas isteri serta hak isteri ke atas suami




Perkahwinan merupakan fitrah yang Allah anugerahkan ke atas manusia, baik lelaki mahupun perempuan. Menurut Islam perkahwinan bukanlah atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama. Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan syahwat tetapi untuk memenuhi kehendak tujuan kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada  Allah. Kerana itu setiap Muslim mahupun Muslimah perlu merancang agar perkahwinan mereka tergolong di dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah (taqarrub ila Allah).

Dalam sebuah hadis yang  diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam  bersabda;

“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya; kerana keturunannya; kerana kecantikannya; kerana agamanya. Pilihlah olehmu wanita yang beragama nescaya kamu berbahagia”. [HR Bukhari dan Muslim]

Hadis di atas menerangkan pedoman dari Rasulullah bahawa asas perkahwinan mestilah didasarkan kepada ketakwaan. Muslimin dan Muslimat di sarankan agar memotivasikan diri untuk menjadikan perkahwinan itu sebagai rangka mendekatkan diri kepada AllahSubhanahu wa Taala.

 Perkahwinan merupakan pangkal, sementara berbagai-bagai hubungan lain hanyalah cabang dari adanya hubungan perkahwinan. Dengan kata lain, jika tidak ada perkahwinan, tidak mungkin muncul status suami, isteri, anak, bapa, ibu dan sebagainya.Islam telah menganjurkan kaum Muslimin untuk melangsungkan perkahwinan. Ibnu Mas’ud radhiallahu anhu menuturkan bahawa Rasulullah bersabda sebagai berikut:

“Wahai para pemuda, siapa saja di antara kalian yang telah mampu memikul beban, hendaklah ia segera bernikah, kerana hal itu dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Sebaliknya siapa sahaja yang belum mampu, hendaklah ia berpuasa, kerana hal itu dapat menjadi perisai. ”

Seorang Muslim atau Muslimah yang baik selalu berharap kepada Allah agar mendapatkan pasangan yang dapat menjaga kehormatan dirinya, keluarganya dan kedekatannya kepada Allah Subhanahu wa Taala. Ia akan bersyukur jika ia berhasil memiliki pasangan yang soleh/solehah. Sebab ia telah mendapat keberuntungan yang paling besar. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:

“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” [HR Muslim]

Seorang Muslim tidak dianjurkan menikahi seseorang kerana kecantikannya, kekayaannya mahupun darjatnya, tetapi dianjurkan agar memilih yang bertaqwa. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda;

“Janganlah kalian menikahi perempuan itu kerana kecantikannya, mungkin kecantikannya itu akan membawa kerosakan bagi mereka sendiri. Janganlah pula kalian menikahi mereka kerana mengharap harta mereka, mungkin hartanya itu akan menyebabkan mereka sombong. Akan tetapi, nikahilah mereka dengan dasar agamanya. Sesungguhnya hamba sahaya yang hitam lebih baik, asalkan ia beragama.” [HR Ibnu Majah] 

Hadis di atas menuntut agar seseorang berkahwin kerana agama dan bukan kerana selainnya. Apa yang penting, setiap perkahwinan itu mestilah berdasarkan cinta kasih pasangan kerana Allah. Jika setiap pasangan berkahwin atas cinta kerana Allah, nescaya mereka akan beroleh rahmat dari perkahwinan tersebut sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Taala:

“Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antara kalian rasa kasih dan sayang.” [TMQ ar-Rum (30):21]


Kehidupan suami isteri

Pada dasarnya, hubungan suami-isteri adalah hubungan yang didasarkan pada prinsip persahabatan yang akrab, saling mengerti dan saling memerlukan. Hubungan suami isteri ini akan menjadi lebih bermakna jika suami isteri itu tahu menjalankan tanggung jawab masing-masing. Dengan ini syariat Islam telah menjelaskan apa yang menjadi hak isteri atas suaminya dan hak suami atas isterinya. Sebagaimana Firman Allah:

“Para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.” [TMQ al-Baqarah (2):228]

Ertinya hak yang dimiliki oleh seorang isteri atas suaminya sama seperti hak suami atas isterinya dari sudut masing-masing mesti mematuhi perintah dan larangan Allah. Oleh sebab itu Ibn Abbas pernah bertutur demikian:


 “Sesungguhnya aku suka berhias untuk isteriku, sebagaimana ia berhias untukku. Aku pun suka meminta agar ia memenuhi hakku yang wajib dia tunaikan untukku, sehingga aku pun memenuhi haknya yang wajib aku tunaikan untuknya.”  


Dan kata-katanya lagi;

“Para isteri berhak merasakan suasana persahabatan dan pergaulan yang baik dari suami mereka, sebagaimana mereka pun berkewajiban untuk melakukan ketaatan dalam hal yang memang diwajibkan atas mereka terhadap suami mereka.”


Antara hak dan kewajiban suami ke atas isterinya ialah:

 (1) Suami berkewajiban memberi nafkah kepada isterinya seperti makanan, minuman, pakaian mahupun tempat tinggal dengan cara yang baik. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam :

“Engkau (suami) harus memberinya makan jika engkau makan dan memberinya pakaian jika engkau berpakaian. Janganlah engkau menempeleng wajahnya, janganlah engkau menghinanya, dan jangan pula membiarkannya kecuali di dalam rumah .” [HR Ahmad, Abu Dawud, Ibn Hibban]

(2)  Suami berkewajiban memenuhi keperluan seksual isterinya, walaupun hanya sekali dalam masa empat bulan, yakni jika keadaan tidak mengizinkan. Keadaan ini ditetapkan berdasarkan Firman Allah Subhanahu wa Taala:

“Kepada orang-orang yang hendak bersumpah untuk menjauhkan dirinya dari isteri-isterinya, bagi mereka ada masa tangguh sampai empat bulan. Kemudian jika mereka kembali kepada isterinya maka sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ al-Baqarah (2):226]

(3)  Minimum tidur bersama isteri sekali dalam setiap empat hari. Pada masa Umar bin al-Khatthab ketetapan semacam ini pernah dilakukan. Ketetapan Umar ini diambil dari firman Allah;

“Nikahilah wanita-wanita yang kalian senangi dua, tiga, atau empat.” [TMQ an-Nisa’ (4):3]

Ini bermaksud, jika seorang suami itu mempunyai empat orang isteri (maksimum) maka jarak giliran antara setiap orang isteri adalah empat hari. Jadi, berdasarkan mafhum ayat, empat hari adalah had maksimum bagi suami melayani hak tidur isteri, walaupun isterinya adalah seorang. 

(4) Berbuat adil dalam pembahagian jika suami mempunyai isteri lebih dari seorang. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:

“Siapa saja yang mempunyai dua orang isteri, kemudian dia lebih cenderung kepada salah satunya, maka orang itu pada hari kiamat akan dipapah oleh seseorang kerana jatuh atau tertatih-tatih .” [HR at-Tirmidzi]

(5) Jika isterinya seorang gadis, maka si suami hendaklah tinggal bersamanya selama tujuh hari dari permulaan pernikahannya dan tiga hari (dari tarikh pernikahan) jika isterinya seorang janda. Ini di ambil dari sabda Rasulullah yang ertinya:

“Bagi gadis tujuh hari, sedangkan bagi janda tiga hari, kemudian barulah ia kembali kepada isterinya yang lama.” [HR Muslim]

(6) Suami disunnahkan memberikan izin kepada isterinya jika ingin melihat saudaranya yang sakit atau menziarahi jika ada yang meninggal dunia.


Di antara hak suami atas isterinya ialah:

 (1) Isteri wajib mentaati suaminya dalam hal kebaikan, bukan dalam kemaksiatan kepada Allah. Namun demikian, seorang suami hendaknya tidak memberatkan atau menyusahkan isterinya. Ketentuan semacam ini diambil dari Firman Allah:

“Jika isteri-isteri kalian mentaati kalian maka janganlah kalian mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.” [TMQ an-Nisa’ (4):34]

Rasulullah juga bersabda:“Sekiranya aku dibolehkan menyuruh seseorang bersujud kepada orang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang isteri bersujud kepada suaminya.” [HR at-Tirmidzi]

(2) Seorang isteri wajib menjaga harta kekayaan dan rahsia suaminya. Ia juga tidak boleh keluar rumah kecuali atas izin suaminya. Ketentuan ini diambil dari sabda Rasulullah:

“(Sebaik-baik wanita adalah) yang membahagiakan suaminya jika ia memandangnya, yang sentiasa mentaati suaminya jika ia memerintahnya, dan yang tidak bermaksiat terhadap suaminya atas dirinya dan hartanya dengan sesuatu yang dibenci suaminya” [HR an-Nasa’i]

(3) Berpergian bersama suaminya jika diajak. Sebab, berpergian bersama suami merupakan hak suami yang wajib ditaati oleh isterinya.

(4) Isteri wajib melayani suami jika suami mahu bersamanya. Ini kerana, melayani keperluan seksual suami merupakan kewajipan isteri dan hak bagi suami. Dalam sebuah hadis disebutkan:

“Jika seorang suami mengajak isterinya untuk tidur bersama, kemudian isterinya menolaknya, hingga suaminya marah, maka malaikat akan melaknatnya hingga pagi hari.” [Muttafaq ‘alaih]

(5)  Seorang isteri wajib meminta izin suaminya jika ia hendak mengerjakan puasa sunat. Hal ini didasarkan pada sabda Rasulullah:

“Tidak halal bagi isteri untuk melakukan puasa ketika suaminya menyaksikannya, kecuali berdasarkan izinnya.” [Muttafaq ‘alaih].

Apa yang diterangkan di atas hanyalah sebahagian dari hak dan tanggungjawab di antara suami isteri di dalam kehidupan rumah tangga. Jika suami tidak menunaikan hak isterinya, suami tersebut telah melakukan kesalahan. Begitu juga, jika seorang isteri tidak memenuhi hak suaminya ia telah melakukan nusyuz.


Nusyuz

 Nusyuz  adalah pelanggaran isteri terhadap perintah dan larangan suami secara mutlak. Hukum nusyuz berlaku apabila si isteri melanggar perintah dan larangan suami semasa berada di dalam hayatul khas/kehidupan khusus (rumah tangga) seperti di dalam rumah. Adapun jika seorang isteri melanggar perintah suaminya di luar kehidupan khusus itu, ini tidak dinamakan nusyuz.Syariat Islam telah menetapkan beberapa hak suami yang perlu dijalankan oleh seorang isteri.

Antaranya menguruskan rumah tangga. Apabila seorang suami menyuruh isterinya membancuh teh, membasuh pakaian, memasak, memandikan anak-anak dan menggosok pakaiannya, jika isterinya tidak mahu melakukannya, ini bermakna isterinya itu telah melakukan nusyuz  terhadap suaminya. 

Begitu juga, jika seorang suami melarang isterinya bertabarruj (berhias diri) atau tidak memakai tudung di hadapan tetamunya di dalam rumah, jika isterinya melanggar larangan suaminya itu, maka isteri tersebut telah melakukan nusyuz. 

 Sebaliknya jika suami tersebut melarang si isteri keluar rumah bertabarruj atau tidak memakai tudung (di luar rumah – hayatul am), jika si isteri tersebut tidak mengikut larangan suaminya itu, ini tidak dinamakan nusyuz kerana perbuatan itu bukanlah di dalam hayatul khas. Isteri tersebut telah melakukan keharaman kerana melanggar perintah Allah, cuma perbuatan tersebut tidak termasuk kategori nusyuzkerana berlaku di dalam hayatul am .

Contoh yang sama adalah jika si suami melarang isteri dari mencuri. Namun isteri melanggar perintah suami dan tetap mencuri (contohnya mencuri di pasar raya), maka isteri tersebut telah melakukan dosa dan keharaman. Namun ini tidak termasuk di dalam kategori nusyuz . Dan dari segi hukuman, isteri tersebut wajib dipotong tangannya oleh negara (Khilafah) dan bukannya dikenakan hukuman nusyuz oleh suami. 

Ketika syariat Islam telah menetapkan hak suami secara umum untuk memerintahkan isterinya melakukan sesuatu, atau melarangnya, syariat juga telah membenarkan beberapa hal dari keumuman tersebut. Misalnya, syariat membolehkan seorang wanita untuk menjalankan perniagaan, mengajar, menghubungkan silaturrahim, pergi ke masjid, menghadiri ceramah ataupun seminar dan sebagainya. Seandainya si isteri melanggar larangan suaminya ini, maka si isteri tersebut tidak jatuh nusyuz kerana ini merupakan hak di dalam kehidupan umum yang dibenarkan oleh Allah ke atas wanita. Namun si isteri mestilah meminta izin kepada suami untuk keluar rumah dan mesti mentaati keputusan suaminya selama mana tidak melanggar syarak. 

Syariat Islam juga telah mewajibkan wanita untuk berdakwah dalam masyarakat. Ini bermakna wanita/isteri juga wajib berdakwah, sebagaimana lelaki/suami. Seandainya si suami melarang si isteri untuk keluar berdakwah, ini adalah satu kesalahan bagi pihak suami. Meski demikian, jika di rumah ada kewajipan lain seperti menguruskan anak-anak, menyiapkan pakaian, makan dan minum suami, maka hal ini hendaklah dilakukan terlebih dahulu oleh si isteri. 


Hukuman nusyuz.

Hukuman nusyuz  telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Taala sebagaimana firmanNya yang bermaksud: 

“Wanita-wanita yang kalian khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidurnya, dan pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak membekas), jika mereka mentaati kalian, janganlah kalian mencari-cari alasan untuk menghukum mereka” [TMQ an-Nisa’(4):34)

Jadi bentuk hukuman tersebut (dan mesti dilakukan menurut urutan) adalah: 

1. menasihatinya dan memberi peringatan kepadanya.
2. mengasingkan tempat tidur.
3. memukulnya dengan pukulan yang tidak membekas.
Semua hukuman tersebut ditetapkan sebagai cara agar seorang isteri mentaati suaminya. 

Jadi, apabila isteri melakukan nusyuz , maka penyelesaiannya mestilah mengikut hukuman di atas. 
Di samping itu, satu hal yang semestinya diperhatikan adalah bahawa kehidupan suami isteri harus merupakan bentuk kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kasih sayang dan rahmat (mawwadah wa rahmah ). Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda: 

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan akulah orang yang terbaik di antara kalian terhadap keluargaku .”  [HR Muslim]

Wallahu a’lam bi sawab

Sunday, March 18, 2012

Ketahui 7 Sikap Wanita Dengan Melihat Cara Berjalan


1. Kelihatan Seperti Tidak Memijak Tanah

Golongan wanita yang jalannya berginjat, wanita ini kononnya bersifat tidak jujur, mulutnya laser dan menyinggung perasaan orang lain terutamanya ketika berbual. Dia juga dikatakan terkenal dengan sikap egonya. Dan yang lebih parah, wanita ini biasanya seorang yang boros atau suka membazir tanpa berfikir sebelum berbelanja. Tapi jangan berkecil hati, kerana wanita seperti ini biasanya menjadi pujaan ramai lelaki.

2. Sering Menoleh Ke Kanan Dan Kiri

Wanita yang berjalan seperti ini biasanya pandai menyimpan rahsia. Walaupun ramai yang menganggap wanita yang berjalan seperti ini tidak jujur, suka menipu teman sendiri, dan merugikan teman bualnya, namun, ramai lelaki yang berusaha untuk menakluk hatinya. Kononnya wanita seperti ini senang diatur dan diuruskan.

3. Suka Menunduk Wanita seperti ini katanya memiliki sifat yang tertutup.

Dia hanya akan berbual dengan orang-orang yang rapat dengannya dan boleh dipercayai. Wanita seperti ini biasanya sukar untuk ditawan hatinya. Di samping sikapnya yang dingin, wanita seperti ini tidak peduli dengan percintaan. Namun, jika ada lelaki yang berjaya menawan hatinya, dijamin lelaki itu akan beroleh kebahagiaan. Ini kerana, wanita jenis ini sangat setia, dan dia tidak akan mengkhianati lelaki yang dicintainya.

4. Berjalan Menatap Lurus Ke Depan

Mereka yang berjalan seperti ini biasanya memiliki pendirian yang teguh, dan bukannya mudah hendak menggoncangkan imannya. Jangan sekali-sekali menentang apa yang pernah dikatanya, jika anda tidak mahu mendengar dia berleter panjang lebar. Meskipun pendiriannya teguh, tapi dia selalu berselisih pendapat. Jadi tak hairanlah kalau wanita seperti ini hanya mahu berbual dengan orang yang perpengalaman luas.

5. Badan Bergerak ke Kanan dan Kiri

Wanita yang berjalan dengan gaya yang sedemikian selalunya bersikap tidak ambil kisah dengan masalah yang berlaku. Apa pun masalah yang ada dihadapannya, dia menganggap itu sebagai perkara kecil. Walhal masalah itu sebenarnya agak rumit dan memerlukan kebijaksanaan untuk diselesaikan. Kerana sifatnya yang suka ambil mudah ini, banyak persoalan yang akhirnya tidak dapat diselesaikan dan akibatnya merugikan dirinya sendiri.

6. Badan Nampak Tegak

Wanita ini tegas dalam menentukan sesuatu. Dia tidak mahu urusan peribadinya dicampur oleh orang lain. Gaya bicaranya selalu serius seperti ingin menunjukkan dia memiliki pendirian teguh. Dan yang menarik tentang wanita ini, dia bertanggungjawap terhadap apa yang pernah dilakukannya. Dia menyenangi lelaki yang berdikari tanpa menghilangkan sifat-sifat romantiknya.

7. Berjalan seperti Zirafah

Maksudnya, ketika melangkahkan kaki, badannya kelihatan bergerak ke depan dan ke belakang. Wanita jenis ini sangat lemah perasaannya. Dia seorang yang mudah terasa dan mudah tersinggung. Jadi, jika berbual dengan wanita seperti ini sedikit sebnayak kenalah menjaga perasaannya agar tidak tersinggung, kerana wanita ini mudah mengalirkan air mata. Panduan ini bukanlah semata mata hanya berguna untuk lelaki tapi boleh jugak di jadikan peringatan kepada wanita wanita diluar agar berjalan dengan sopan. Macam biasa, tip ini hanya panduan bukan semestinya betul dan setiap individu adalah berlainan.

Sekian. Wallahualam


Monday, December 26, 2011

Hukum Islam dgn Sambutan hari Natal

Saya merasa terpanggil untuk memberi sedikit pandangan dari perspektif Islam berkenaan dengan sambutan hari Krismas (Christmas) oleh penganut-penganut agama Kristian ketika melawat Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) pada hari ahad 25 dec 2011 yang lalu. Ini adalah kerana hiasan sambutan hari Krismas di lobi KLCC itu begitu hebat dan belum pernah saya lihat sehebat itu di mana-mana.

Pengenalan Sambutan Hari Krismas

Definasi Krismas dari Wikipedia adalah:

“Christmas or Christmas Day is an annual holiday celebrated on December 25 that commemorates the birth of Jesus of Nazareth.”1

Jika dirujuk perkataan “Christmas” dalam buku Istilah Agama Kristian, Bahasa Inggeris – Bahasa Malaysia, ia mengatakan:

“- Krismas, Hari Natal, Pesta Kelahiran Tuhan Yesus“2

Skop perbincangan ini hanya akan memfokuskan kepada sambutan Krismas sahaja dan tidak pada doktrin ketuhanan nabi Isa a.s.
Jadi jelaslah yang Krismas ini adalah hari sambutan kelahiran Nabi Isa (Yesus) bagi penganut agama Kristian (yang menganggapnya sebagai Tuhan) dilakukan setiap tahun pada 25 Disember. Skop perbincangan ini hanya akan memfokuskan kepada sambutan Krismas sahaja dan tidak pada doktrin ketuhanan nabi Isa a.s. Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan di sini yang Islam amat menentang doktrin syirik itu (Qur’an 5:76).

Bila Nabi Isa a.s. Dilahirkan?

Al-Qur’an tidak memberikan tarikh dan masa yang tepat berkenaan hal ini tetapi sekadar gambaran masa kelahiran nabi Isa a.s. Seperti Firman Allah s.w.t.

“Maka seseorang menyerunya dari tempat yang rendah: Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu. Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makan, minum dan bersenang hatilah kamu..” (Qur’an 19:24-26)

Peristiwa di atas berlaku pada Maryam a.s. selepas melahirkan Nabi Isa a.s. Di dalam ayat di atas ada menyebut tentang buah kurma yang masak di atas pohonnya, ini menunjukkan yang masa kelahiran itu tentu sekali bukan di dalam musim sejuk, bahkan bermungkinan besar di dalam musim bunga ataupun musim panas.

Bagaimana pula dengan Alkitab? Ini adalah persoalan yang sangat menarik untuk diperbincangkan. Sambutan Krismas adalah pada setiap 25hb Disember dan sinonim dengan salji musim sejuk.

Kitab Perjanjian Baru tidak banyak menyentuh mengenai kelahiran Nabi Isa a.s. Kitab Matius menyentuhnya secara ringkas, manakala kitab Markus dan Yohanes langsung ‘membisu’ dalam hal ini. Kitab Lukas adalah satu-satunya sumber rujukan yang agak mendalam dengan mengambarkan masa kelahiran Nabi Isa a.s.:

“Ketika mereka di situ tibalah waktunya bagi Maria (Maryam) untuk bersalin, dan ia melahirkan seorang anak laki-laki, anaknya yang sulung, lalu dibungkusnya dengan lampin dan dibaringkannya di dalam palungan, karena tidak ada tempat bagi mereka di rumah penginapan. Di daerah itu ada gembala-gembala yang tinggal di padang menjaga kawanan ternak mereka pada waktu malam“. (Lukas 2:6-8)

Di dalam ayat di atas, ada mengatakan yang gembala-gembala tinggal di padang rumput untuk menjaga ternakan mereka pada waktu malam, ini menunjukkan yang musim itu bukanlah musim hujan mahupun musim sejuk. Dalam Adam Clarke Commentary, jelas mengatakan yang aktiviti-aktiviti gembalaan seperti yang dinyatakan dalam Lukas 2:2-8 berlaku dalam musim bunga atau musim panas:

It was an ancient custom among Jews of those days to send out their sheep to the fields and deserts about the Passover (early Spring), and bring them home at commencement of the first rain…..the first rain began early in the month of Marchesvan, which answer to part of our October and November. We find that the sheep were kept out in the open country during the whole summer.3

[Menjadi kebiasaan kuno di antara orang-orang Yahudi pada masa itu untuk menghantar domba mereka ke ladang dan padang pasir semasa hari Paskah (awal musim bunga) dan membawa mereka pulang pada permulaan hujan pertama....hari hujan pertama bermula pada awal bulan Markhesvan yang memenuhi sebahagian daripada bulan Oktober dan November. Kami mendapati bahawa domba dibiarkan di ladang terbuka selama musim panas.]

Tiada seorang pegembala pun yang sanggup tidur bersama-sama dengan ternakannya di padang rumput pada musim hujan mahupun pada musim sejuk.
Jadi terbuktilah bahawa sambutan hari Krismas pada tarikh 25hb Disember adalah satu kesilapan masa. Tiada seorang pegembala pun yang sanggup tidur bersama-sama dengan ternakannya di padang rumput pada musim hujan mahupun pada musim sejuk. Pengalaman penulis di India pada musim sejuk, semua ternakan seperti kambing akan di masukkan ke dalam rumah pengembala itu sendiri malah dipakaikan ‘baju’ guni untuk menjaga kesihatan ternakan itu. Bayangkanlah bagaimana keadaan ternakan itu jika ianya diletakkan di padang rumput sepanjang malam pada musim sejuk? Ini jelas adalah satu salah faham di dalam ajaran agama Kristian yang telah dibuktikan dari Alkitab (Bible) mereka sendiri.

Apa yang menariknya ialah kitab Lukas lebih menepati apa yang Allah s.w.t. Firmankan dalam Surah Maryam, ayat 24 hingga 26, iaitu kelahiran Nabi Isa a.s. bukanlah pada musim hujan mahupun musim sejuk, sebaliknya ia adalah pada musim bunga ataupun musim panas.

Mengapa 25 Disember?

Sebenarnya 25 Disember telah disambut sejak sebelum dari kelahiran Nabi Isa a.s. lagi bagi memperingati ulang tahun kelahiran dewa matahari mengikut mitos kepercayaan masyarakat Romawi (Rom) kuno. Oleh sebab agama Kristian telah diterima oleh kerajaan dan rakyat Romawi pada kurun ke-4 Masihi, maka perayaan pada 25 Disember tadi telah diadaptasi menjadi perayaan Krismas kerana pemuka-pemuka agama Kristian ingin menjaga hati orang-orang Romawi yang baru menerima agama tersebut. Akhirnya, pada tahun 350 Masihi Pope Julius 1 (337 – 352M) telah mengistiharkan secara rasminya yang perayaan Krismas adalah hari suci bagi gereja Katholik.

Dalam The Encyclopedia Americana, di bawah tajuk “Christmas”, ada mengatakan:

“CHRISTMAS, the ‘Mass of Christ’— In the 5th century the Western Church ordered it to be celebrated forever on the day of the old Roman feast of the Birth of Sol (the Sun) —. Among the German and Celtic tribes, the Winter Solstice was considered an important point of the year, and they held their chief festival of Yule to commemorate the return of the burning-wheel (the sun).”4

[Krismas, hari "Misa Kristus" -- Pada abad ke-5, Gereja Barat mengarahkan bahawa ia diraikan untuk selamanya pada hari perayaan Rom kuno untuk menyambut hari kelahiran Sol (matahari) -- Di kalangan puak-puak Jerman dan Celtic, Solstis musim dingin dipercayai sebagai tarikh tahunan yang penting, dan mereka mengadakan perayaan utama Yule untuk memperingati kepulangan roda yang terbakar (mahatari).]

Sambutan hari Krismas bukanlah berasal daripada ajaran agama Kristian itu sendiri, tetapi telah diadaptasi dari kepercayaan karut Romawi kuno.
Maka jelaslah kepada kita yang sambutan hari Krismas bukanlah berasal daripada ajaran agama Kristian itu sendiri, tetapi telah diadaptasi dari kepercayaan karut Romawi kuno. Ini tidak seperti ajaran Islam yang tegas menghapuskan semua perayaan kebatilan kepada para penganutnya sepertimana peristiwa yang diriwayatkan oleh Anas r.a.

Semasa Rasullullah s.a.w. sampai ke Madinah dan penduduk Madinah ketika itu sedang manyambut perayaan selama dua hari, bertanyalah Rasulullah s.a.w kepada mereka tentang apa yang mereka rayakan itu. Setelah diberitahu yang sambutan itu adalah sambutan sejak dari sebelum mereka memeluk agama Islam lagi, maka Rasullullah s.a.w. menjawab yang Allah s.w.t. telah menggantikan perayaan itu dengan dua perayaan Islam (iaitu Aidilfitri dan Aidiladha).

Dengan cara itu, maka terhapuslah segala perayaan yang tidak islamik sebelum era kedatangan Islam.

Hukum Menyambut Krismas Bagi Orang Islam

Islam amat menggalakan sifat kasih sayang dan hormat-menghormati di dalam semua aspek kebaikan sesama manusia, sekalipun fahaman atau anutan mereka adalah berbeza. Walau bagaimanapun, Islam tetap meletakkan had dan sempadan apabila sesuatu perkara itu menjejaskan akidah penganutnya. Seperti yang telah disentuh di atas, sambutan Krismas adalah satu bentuk salah-faham dalam agama Kristian daripada 3 segi:

1. Mengikut buku Istilah Agama Kristian, Bahasa Inggeris – Bahasa Malaysia (di atas) mengatakan yang sambutan Krismas adalah sambutan ‘hari lahir Tuhan Yesus’. Jadi ini sama sekali bertentangan dengan aqidah Islamiah yang meyakini Allah itu Esa dan tidak berbilang.

2. Tarikh 25hb Disember bukanlah tarikh kelahiran Nabi Isa a.s. yang sebenar.

3. Tarikh 25hb Disember sebenarnya adalah sambutan kelahiran dewa matahari bagi orang-orang Romawi kuno, jadi sambutan itu adalah sebuah perayaan kebatilan.

Sambutan Krismas adalah sambutan syirik orang-orang Kristian menyambut kelahiran tuhan mereka ke dunia yang dipanggil dalam bahasa Ibrani sebagai “Immanuel” (“Tuhan menyertai kita”)5. Oleh sebab itu, Islam tidak membenarkan sama sekali umatnya untuk terlibat serta dalam apa juga bentuk sambutan hari Krismas, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung walaupun hanya dengan mengatakan, “Happy Christmas” atau “Merry Christmas” sekalipun.

Hukum menyambut Krismas dalam apa bentuk sekalipun adalah haram dan ditakuti boleh membawa kepada syirik.
Oleh itu, hukum menyambut Krismas dalam apa bentuk sekalipun adalah haram dan ditakuti boleh membawa kepada syirik. Umat Islam tidak dibenarkan untuk tolong-menolong dalam melakukan ketidaktaatan kepada Allah s.w.t, seperti Firmannya:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (Qur’an 5:2)

Nabi Muhammad s.a.w. dalam satu hadisnya mengingatkan kita tentang meniru atau menyerupai ajaran sesuatu kaum yang lain, sabdanya,

“Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka ia akan dibangkitkan bersama kaum itu.” (riwayat Abu Daud)

Maka dibimbangi jika ada di antara kita yang terlibat sama dengan penganut agama Kristian dalam menyambut Krismas, maka di akhirat nanti kita akan dibangkitkan bersama dengan mereka, wa nau’zubillah.

Kita sewajibnya mengelakan diri terbabit dalam perayaan kebatilan ini sebagaimana Firman Allah s.w.t:

“…dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.” (Qur’an 25:72)

Ada di antara ulama yang menafsirkan “perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah” termasuklah menyambut perayan-perayaan yang batil, tafsiran ini termasuklah tafsiran Mujahid dan Ibnu Sireen. Jadi sudah jelas kepada kita apa itu sambutan hari Krismas. Semoga kita bersama-sama dapat menyampaikan perkara ini kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat agar dapat terhindar dari melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah lagi merosakkan akidah ini.

kelebihan surah Yusuf ayat ke 4

"Idz Qaala Yuusufu Li Abiihi Yaa Abati Inni Ra Aitu Ahada' Asyara Kaukabauw Wasy Syamsa Wai Qamara Ra aituhum Lii Sajidin"
Bermaksudnya:

Ingatlah ketika Yusuf berkata kepada ayahnya,"Wahai Ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas buah bintang, matahari dan bulan kelihatan semuanya sujud kepadaku..."
Kemudian sambung Surah Thaahaa Ayat 39


"Wa-alqayka 'alayka mahabbatan minnii walitushna'a'laa 'ainii"

Bermaksud:
"Dan aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dariku, dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasanku."(Qs.thaahaa:39)


Caranya:
Setiap kali bertemu atau bersua dengan kekasih/isteri/suami,bacalah kedua ayat ini.Untuk dapatkan kesan yang baik,hendaklah diamalkan selalu membaca dihadapannya,Tidak perlu membaca dengan kuat,memadailah dengan hanya membaca di dalam hati.Selain itu agar dikasihi masyarakat,bacalah kedua-dua ayat ini setiap kali lepas solat sebanyak 3 kali.
*Penting!Anda dilarang sama sekali menggunakan ayat ini dengan tujuan yang tidak baik

Wednesday, November 9, 2011

Warisan Hawa


Kelembutan bukan nya tanda kelemahan
Di sebalik wajah tersirat hati tabah
Akur bukan bererti tiada pendirian
Wajarnya berfikir sebelum membimbing

Dengan harapan murni
Warisan hawa
Berdiri di samping dengan setia
Membimbingmu dengan ketulusan
Hati berpedoman

Didik wanita
Terdidik generasi yang mulia
Menimba amalan penuh taqwa
Memegang amanah warisan hawa

Titis air mata bukan tanda kecewa
Sebaliknya bangga dilimpah pengalaman
Ikhlas berbakti menuntut kehendak agama
Semoga diredha melangkah ke depan

Dengan harapan murni

Sunday, October 30, 2011

LELAKI MENGIKUT 4 UNSUR


Rahsia Lelaki Mengikut 4 unsur

(1) Tanah = anak pertama, anak kelima, anak kesembilan
(2) Air = anak kedua, anak keenam, anak kesepuluh
(3) Api = anak ketiga, anak ketujuh, anak kesebelas
(4) Angin = anak keempat, anak kelapan, anak keduabelas

TANAH
Sifat tanah dikaitkan sebagai jenis Deria. Ia tergolong sebagai sifat kewanitaan. Orang menghargai kebendaan, keras hati, sabar,disiplin diri, berhati-hati, boleh diharap, tidak tegas, cekap, percaya hanya perkara yang boleh dicapai oleh deria.

(JENIS PANCAINDERA: SYAHWAT, KERING)
Sedar mengenai hakikat diri, menilai material, sebar, tabah hati, disiplin diri, berhati-hati, boleh diharap, tidak tegas, efisyen, percaya hanya pada apa yang boleh dicapai oleh pancaindera, muram atau sugul, diberatkan oleh keperluan. Kepala angin, bimbang, tegas, tenang, boleh putus harapan, pendiam, tidak peramah, senyap. Badannya kurus, kurangnya tidur, tidak sabar jima', selalu sihat, banyak kerja.

AIR
Sifat air dikaitkan jenis Perasa. Ia tergolong sebagai sifat kewanitaan. Lemah-lembut, dalam perasaannya, mengasihani, memaksa, penakut, kepala angin, imaginatif, lemah terhadap siksaan atau teguran, berahsia, memahami, tidak tamak, artistik.

(JENIS PERASA: FIKIRAN, BASAH)
Lemah lembut, perasaannya dalam, belas kasihan, penakut, ada angin, imaginatif, mudah terluka hatinya, berahsia, mudah memahami perasaan orang lain, tidak tamak, ada bakat seni, positif, berhati-hati, berfikiran panjang, aman hatinya, terkawal, boleh dipercayai, penyabar, tenteram. Tubuhnya tambun, banyak lemak, banyak tidur, sedikit malas, lambat dan agak kurang faham.

API
Sifat api dikaitkan sebagai jenis Intuisi (kebolehan mengetahui sesuatu melalui bisikan kalbu). Ia digolongkan sebagai sifat kelelakian. Pentingkan diri, megah, bersemangat tinggi, kompetitif, perlukan ruang, kebudakan atau kurang matang, keras hati, kecenderungan ke arah tidak peka terhadap sesuatu, sentiasa sedia untuk menempuh sesuatu yang baru dan berisiko, mampu melihat kemungkinan masa depan.

(JENIS INTUITIF: CINTA, PANAS)
Pentingkan diri, megah, semangat tinggi, kompetatif, perlukan ruang, keanakan atau lurus, menaruh harapan, cenderung untuk tidak sensitif, sentiasa sedia untuk sesuatu yang baru dan berisiko, mampu melihat kemungkinan baru, yang mana orang lain tidak terfikirkan. Perasa, gelisah, agresif, mudah teransang, mudah berusaha, pemaksa, optimis, aktif. Kerjanya segera, jalannya cepat, terang hati, panas tubuhnya, kurang tidurnya.

ANGIN
Sifat angin dikaitkan dengan jenis Pemikir. la digolongkan sebagai sifat kelelakian (masculine). Lelaki ini berpegang kepada teori, tidak mudah terpengaruh oleh pendapat orang lain, objektif, rasional, menghadapi kesukaran untuk melibatkan emosi, menghargai kebolehan intelektual, mahukan kebebasan, mempunyai mentaliti ambil mudah, sukakan fakta dan figura.

(JENIS PEMIKIR: JIWA, SEJUK)
Orang teori, sukar dipengaruhi, objektif, rasional, sukar terlibat dalam hal emosi, menilai tinggi kebolehan intelektual, keperluan untuk bebas, mentaliti ambil mudah, suka pada fakta dan figura. Mudah bergaul, boros, banyak cakap, responsif, mudah berbincang, bersemangat, sikap tidak kesah, pemimpin. Tubuh nipis, kurang daging, banyak darah, kreatif, sederhana.

** Kenyataan di atas hanyalah kajian teori ahli falsafah